<body> Che`Gu
...Kata Che`Gu

Langkah gelayaran terhuyung-hayang dalam berjalan
Mata gelayangan berkeliaran dalam pandangan
Lidah gelagapan gagap dalam perbualan
Teguhkah pendirian tegas tidak gelandangan

...Impian Che'Gu

Biar tapakku terjaga rapi
Biar rancak denyut nadi
Semoga tidak aku berhenti
Sehingga aku berdiri di puncak yang tinggi

...HOT LIKNKS

Betari Diani

...ARCHIVES


  • February 2008
  • March 2008
  • April 2008
  • May 2008

  • ...FORUM




     

    ...CREDITS

    Wednesday, March 26, 2008


    Pantau

    Denyut nadiku semakin rancak
    Tatkala waktu semakin mendekatiku
    Tatkala aku tahu akan ada mata-mata yang memandang
    Memerhati dan menilai diriku
    Membongkar segala ruang yang kelihatan
    Menyelidik segala sudut yang terselindung

    Dari setiap penjuru rahsiaku akan cuba dibaca
    Mencari kesilapan yang terkandung
    Untuk dijadikan persoalan mengenai kelayakanku bertahta di sini
    Aku bak diletakkan di bawah satu teropong raksasa
    Yang ingin memantau kebolehanku
    Memerintah segala penghuni di ruang sempit ini.

    Tatkala perasaanku kecundang
    Ditewaskan oleh gerak laku rakyatku yang tidak sepadu
    Aku terpandang pancaran sinaran yang melimpah
    Daripada mata-mata yang awalnya kelam memantauku
    Menenangkan emosiku.

    Aku tenggelam di dalam lautan sinaran
    Yang memastikan tempatku di sini
    Tatkala itu,
    Aku tidak lagi gentar terhadap mata-mata yang memantau.

    Che'Gu



    Tercabar

    Sesungguhnya aku rasa amat tercabar
    Dengan kata-kata sinis
    Yang diluahkan oleh mulut lancangmu.

    Sesungguhnya aku rasa amat tercabar
    Dengan gerak lakumu
    Yang mengecualikan adabmu terhadapku.

    Sesungguhnya aku rasa amat tercabar
    Dengan sikap dan kelakuanmu
    Yang membelakangkan tatasusila di hadapan tamuku.

    Sesungguhnya aku rasa amat tercabar.

    Che'Gu

    Tuesday, March 4, 2008


    Berselimut Gementar

    Terbitnya matahari sebagai petanda
    Kehidupan baruku di tanah persinggahan ini
    Peluang menjemputku bangkit dari tempatku di belakang
    Untuk bertahta di singgahsana
    Yang menanti kehadiranku di hadapan

    Seluruh tubuhku dipukul angin kencang
    Menggetarkan nadiku
    Pada saat pertama aku menginjak tahta
    Di tanah asing ini

    Bukankah ini yang telah kuimpikan buat sekian lama?
    Namun mengapa pula lidahku menjadi kelu
    Bibirku beku dan kakiku terpasung ke bumi
    Tatkala aku menghadap mereka yang bisa aku jajah
    Hanya dengan sepatah perkataan bernada keras
    Keluar lantang dari mulutku?
    Senyap!
    Bukankah mudah untuk aku menakluki mereka
    Hanya dengan renungan tajam
    Dengan makna untuk membaham
    Sekiranya titahku disanggah?
    Namun mengapakah aku berselimutkan perasaan gementar
    Yang menggelombangkan denyut jantungku
    Tatkala aku menguasai singgahsana yang selama ini aku dambakan?

    Che'Gu

    Saturday, March 1, 2008


    Sepi kian berteman

    Hadirku di sini bukan lagi sendiri
    Sepiku kian bertemankan
    Mereka yang berada di dalam perjuangan yang sama
    Semakin lama aku semakin membiasakan diriku
    Untuk mendekati ruang janggal ini
    Aku memberanikan diriku untuk mengenali sudut sempit ini
    Bersama mereka yang mendampingi hariku
    Mereka yang mengisi kesunyianku
    Seperti mana aku mengisi kesunyian mereka
    di setiap penjuru ruang sempit ini
    Aku tidak lagi gentar akan mata-mata tajam
    Kerana sepiku kini berteman

    Che'Gu