<body> Che`Gu
...Kata Che`Gu

Langkah gelayaran terhuyung-hayang dalam berjalan
Mata gelayangan berkeliaran dalam pandangan
Lidah gelagapan gagap dalam perbualan
Teguhkah pendirian tegas tidak gelandangan

...Impian Che'Gu

Biar tapakku terjaga rapi
Biar rancak denyut nadi
Semoga tidak aku berhenti
Sehingga aku berdiri di puncak yang tinggi

...HOT LIKNKS

Betari Diani

...ARCHIVES


  • February 2008
  • March 2008
  • April 2008
  • May 2008

  • ...FORUM




     

    ...CREDITS

    Friday, February 29, 2008


    Dari Belakang

    Dari belakang aku memerhati
    Terfikir akan perasaanku nanti
    Ketika aku pula yang berada nun di hadapan
    Menoleh kepada mereka yang di belakangku
    Apakah akan hilang rasa janggalku
    Sejurus aku mengambil alih
    Mendiami tahta di hadapan ruang pandangan semua?

    Dari belakang aku meneliti
    Setiap gerak geri mereka yang tidak mengambil peduli
    Akan kewujudanku
    Adakah mereka akan mula sedar akan adanya aku di sini
    Tatkala aku pula yang menjadi pengisi ruang singgahsana
    Yang menarik perhatian mereka di hadapan sana?

    Dari belakang aku bermimpi
    Kelak tiba masanya giliran aku berada di hadapan
    Titahku menjadi junjungan
    Perintahku dituruti
    Akan kuhilangkan kejanggalan ini
    Menyeludup keselesaan yang terbiasa buat diriku ke dalam sudut kecil ini
    Namun kutanya pada diriku
    Adakah aku mampu?

    Tersentak, aku terjaga dari lamunan
    Giliran aku bertahta di hadapan belum nyata lagi
    Kerana aku masih lagi di ruang yang sempit ini
    Dari sini, dari belakang aku hanya boleh bermimpi

    Che'Gu

    Thursday, February 28, 2008


    Secebis Kenangan Yang Melimpah

    Aku dilawati perasaan terkejut
    Tatkala kau tercegat di muka pintu
    Memberi salam kepada penghuni ruang sempit ini
    Hadirnya dirimu di ruang nan asing bagiku ini
    Mengajak aku kembali bertemu kenangan
    Yang telah jauh kulontarkan
    Sekian lama aku mengembara di bumi asingmu ini

    Kau mengingatkan aku kepada mereka
    Yang telah lama kutinggalkan
    Dalam perjuanganku mencapai impian
    Kau mengingatkan aku pada mereka
    Yang dahulunya menjadi sumber ilhamku
    Untuk terus melangkah jauh mendaki puncak nan tinggi
    Kini mereka hanya terkubur di dalam mimpi-mimpiku
    Aku juga kini hanya secebis kenangan
    Yang bermain di fikiran mereka ketika kerinduan
    Akan gelak ketawa dan gurau mesra sewaktu bersama

    Aku sendiri mendambakan saat keriangan
    Yang pernah bermain di sekelilingku
    Sekian lama aku terasa kehilangan
    kemesraan jalinan ikatan sedemikian
    Namun ketika aku terpandang akan dirimu di muka pintu
    Aku tahu kehilangan itu berpengganti
    Tatkala kaumelangkah masuk
    Membawa bersamamu secebis kenanganku yang melimpah
    Ke ruang sempit ini

    Che'Gu

    Wednesday, February 27, 2008


    Aku Yang Masih Sunyi

    Aku masih belum lagi terbiasa dengan ruang yang janggal ini
    Aku masih lagi mencari keselesaan di sudut kecil
    Sayapku yang patah belum tertumbuh lagi
    Menyekat pergerakanku
    Aku masih sunyi dikelilingi pandangan curiga yang dilemparkan
    Pasangan-pasangan mata yang menanti kepastian
    Yang belum lagi tiba di muka pintu
    Bahkan masih tercegat jauh beribu batu

    Di sudut ini aku masih sendiri
    Tatkala yang lain berteman, bergandingan
    Aku tersisir ke tepi dengan rasa sunyi yang memakan diri.

    Che'Gu

    Tuesday, February 26, 2008


    Di Ruang Janggal

    Kesunyian menyelubungi diriku saat aku melangkah
    Menyertai ruang kejanggalan bagi diriku
    Yang terlalu kebiasaan dengan keselesaan hidupku
    Jiwaku disentak perasaan gelisah yang datang
    Berserta pasangan-pasangan mata
    Yang menusuk tajam pada kewujudanku ini
    Mengekori gerak-geri, memantau tingkah laku
    Aku bak penceroboh di kawasan terlarang
    Ditimbus pelbagai persoalan
    Daripada mereka yang curiga akan kehadiranku di bumi mereka
    Siapa? Dari mana? Apa halnya?
    Sergahan yang datang bertubi-tubi
    Menambahkan kecemasan padaku yang tatkala ini
    Hanya ingin berpaling dan pecut berlari
    Kembali kepada ruang yang terbiasa buatku.

    Dalam kegelapan aku tergapai-gapai mencari hala
    Merangkak-rangkak aku bergerak ke hadapan
    Walhal yang di belakangku sedang menjerit
    Memanggil kepulanganku ke pangkuan keselesaan
    Aku masih takut berdiri apatah lagi berlari
    Segan tersandung di hadapan mereka yang memerhati
    Apa pula kata mereka nanti
    Mungkin aku akan dijadikan bahan gelak ketawa
    Mereka yang geli hati
    Mungkin juga aku akan menjadi pencetus amarah dan benci

    Sejenak kupejamkan mataku
    Melenyapkan setiap pasangan mata yang menjaga di setiap penjuru
    Aku enggan celik kembali
    Takut disergah renungan api mereka yang sangsi
    Namun dari satu sudut kecil
    Datangnya suara yang menjadi bekalan perjuanganku ini
    “Langkahmu sudah pun bertapak di sini
    Usah kau henti sehingga kau tiba di puncak yang tinggi”
    Bekalan semangat yang menyalakan api perjuanganku
    Membangkitkanku daripada lena yang seketika ini
    Tatkala itu kuucapkan perpisahan pada sejarah lalu
    Aku melangkah setapak ke hadapan
    dengan nama yang Esa terukir di bibir
    Selamat tinggal kenangan lalu
    Buat lembaran baru dalam hidupku
    ‘Assalamualaikum’ kuucapkan buat dirimu

    Che'Gu